Terbuka Malaysia: Pearly-Thinaah Tersingkir Awal, Tumpas Kepada Adik Beradik Stoeva
January 10, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan menjadi wakil negara yang pertama tersingkir daripada kejohanan Terbuka Malaysia – Jelajah Dunia Super 1000 BWF.

Gandingan yang menjuarai saingan Terbuka Perancis pada Oktober tahun lalu itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan ini setelah tumpas pasangan adik beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva dan Stefani Stoeva seawal Pusingan 32.

Lebih tragis dan memilukan, Pearly-Thinaah tumpas kepada adik beradik itu secara “straight set” dengan skor 19-21 dan 14-21 dalam tempoh 31 minit permainan di Gelanggang 2, sebentar tadi.

Untuk makluman, kemenangan yang diraih adik beradik Stoeva pada hari ini menjadikan rekod “head-to-head” antara kedua-dua pasangan menjadi seimbang iaitu satu kemenangan masing-masing.

Pada pertemuan sulung yang berlangsung pada tahun 2021 lalu, ianya berpihak kepada Pearly-Thinaah dengan kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-12 di kejohanan Terbuka Swiss.

Sementara itu, adik beradik Stoeva yang merekodkan kemenangan dapat meneruskan kemaraan ke Pusingan 16. Menanti mereka di sana adalah samada beregu India, Treesa Jolly-Gayatri Pullela atau beregu Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen