Piala AFF: Thailand Kuburkan Hasrat Malaysia, Mara Ke Final Buat Kali Ke-10
January 10, 2023 Hafizuddin Omar

Hasrat Malaysia untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF 2022 dikuburkan oleh juara bertahan, Thailand.

Perkembangan terbabit hadir setelah skuad berjulukan Gajah Perang itu berhasil melakar kemenangan 3-0 pada perlawanan timbal balik separuh akhir yang berlangsung di Stadium Thammasat, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Teerasil Dangda, Bordin Phala dan Adisak Kraisorn menjadi penyumbang kepada kemenangan skuad bimbingan Alexandre Polking menerusi jaringan pada minit 19’, 55’ dan 71’ masing-masing.

Sebelum itu, Thailand tumpas 0-1 di tangan Malaysia dalam perlawanan separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada Sabtu lalu.

Kemenangan itu menjadikan Thailand merakamkan kemenangan 3-1 secara agregat selepas beraksi dalam 180 minit permainan sekaligus melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Sementara itu, menanti mereka di pentas akhir ialah Vietnam kendalian Park Hang-seo. Skuad berjulukan Naga Emas ini mara ke perlawanan akhir selepas berjaya menundukkan Indonesia dengan keputusan 2-0 secara agregat.

Sebagai rekod, ini merupakan kemaraan kesepuluh Thailand ke pentas Piala AFF sejak ianya dianjurkan julung kalinya pada tahun 1996.

Sembilan penampilan di pentas akhir sebelum ini menyaksikan Thailand menamatkan enam daripadanya dengan muncul juara. 

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen