KL City Sambar Penyerang Kelab Seterunya, Herlison Caion
January 11, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City) membuat kejutan dengan menyambar khidmat penyerang kelahiran Brazil, Herlison Caion yang merupakan pemain kelab seterunya di Lembah Klang, Selangor FC pada musim lalu.

Kehadiran penyerang berusia 32 tahun bersama KL City itu diumumkan secara rasmi menerusi satu video pengenalan pemain yang berdurasi 35 saat di pelbagai platform laman sosialnya, pada hari ini.

Pastinya pemilihan Caion sebagai penyerang import baharu buat KL City didorong oleh ketajamannya di hadapan gawang sepanjang musim lalu. 

Ini terbukti menerusi sumbangannya terhadap Selangor yang berhasil meledak 24 gol serta mencipta lapan bantuan gol (assist).  

Untuk makluman semua, Caion menjadi pemain import baharu yang keempat ditandatangani oleh skuad kendalian Bojan Hodak pada jendela perpindahan kali ini.

Sebelum ini, skuad berjulukan The City Boys ini telah mengikat khidmat Tchetche Kipre (penyerang), Patrick Reichelt (pemain sayap) dan Sebastian Avanzini (pertahanan).

Sebagai tambahan, Caion yang pernah beraksi di Thailand, Korea, Iraq, Denmark serta negaranya sendiri menjadi ejen bebas apabila Selangor mengumumkan pelepasannya, semalam.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen