Terbuka Malaysia: Lee Zii Jia Kandas Awal Di Hadapan Penyokong Sendiri
January 11, 2023 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton tanah air yang menghuni ranking kedua dunia, Lee Zii Jia menerima satu tamparan hebat daripada pemain muda Jepun, Kodai Naraoka di hadapan penyokong sendiri.

Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kedua terpaksa akur tersingkir awal daripada saingan Terbuka Malaysia 2023 yang berlangsung di Axiata Arena ekoran tumpas mengejut kepada Kodai di Pusingan 32, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Zii Jia tumpas kepada pemain No.7 dunia itu menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-13, 17-21 dan 18-21 dalam tempoh masa 73 minit permainan di atas Gelanggang 1.

Menariknya, Kodai yang berusia 21 tahun melakar salah satu kemenangan epik dalam kariernya ini dalam pertemuan sulung menentang Zii Jia di pentas kejohanan.

Sebagai perbandingan, pencapaian Zii Jia di saingan Terbuka Malaysia pada tahun ini adalah lebih hambar berbanding tahun lalu dimana dia berhasil mara sekurang-kurangnya ke peringkat Pusingan 16.

Sementara itu, Kodai yang melayakkan diri ke Pusingan 16 akan bertemu seorang lagi perseorangan negara iaitu Ng Tze Yong, pada hari esok.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia 

Komen