Dua beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun menerima nasib yang sama tersingkir seawal peringkat Pusingan 32 di kejohanan Terbuka Malaysia 2023.
Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking kesepuluh dunia terpaksa melupakan saingan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 ini apabila tumpas kepada beregu China, Liang Wei Keng dan Wang Chang.
Beregu dari negara tembok besar itu menumpaskan Sze Fei-Izzuddin menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 16-21, 21-11 dan 21-17 dalam tempoh masa hampir sejam permainan.
Manakala gandingan muda, Wei Chong-Kai Wun pula tumpas kepada beregu berpengalaman yang pernah memegang takhta No.1 dunia, Kevin Sukamuljo-Marcus Gideon.
Pasangan dari Indonesia yang terkenal dengan julukan The Minions itu menumpaskan Wei Chong-Kai Wun secara “straight set” dengan skor 21-18 dan 23-21 dalam tempoh 33 minit permainan.
Perkembangan ini menjadikan hanya dua sahaja wakil negara dalam kategori beregu lelaki meneruskan cabaran dalam saingan Terbuka Malaysia.
Dua wakil tersebut adalah gandingan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta beregu bebas (independent), Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia