Artikel

PPUM Dapat Pengiktirafan AFC Medical Centre of Excellence – Keempat Di Malaysia

Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menjadi institusi terbaru yang mendapat pengiktirafan AFC Medical Centre of Excellence daripada badan induk bola sepak benua asia, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pusat perubatan yang terletak di Lembah Pantai itu menerima pengiktirafan terbabit secara rasmi selepas Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John Paul menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Pengarah PPUM, Profesor Dr. Nazirah Hasnan dalam satu majlis yang diadakan, semalam.

Difahamkan, PPUM menawarkan pelbagai servis dalam perubatan sukan yang merangkumi Pencegahan Kecederaan (injury prevention), rawatan kecederaan dan pemulihan (injury treatment & rehabilitation) serta penilaian untuk kembali bersukan semula (return to sport assessment).

Selain itu, mereka turut menawarkan servis Penilaian Perubatan & Kecergasan Prakejohanan yang terbahagi kepada tiga pakej utama serta dua pakej penilaian yang dikhususkan kepada pemain bola sepak yang mengikuti garis panduan yang disyorkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebagai rekod, PPUM menjadi institusi keempat di Malaysia menerima pengiktirafan tersebut daripada pihak AFC.

Tiga institusi lain mempunyai pengiktirafan AFC Medical Centre / Clinic of Excellence ialah Kuala Lumpur Sports Medicine Centre (KLSMC), Klinik Setia Jalan Gombak dan Institut Sukan Negara (ISN).

Untuk pengetahuan semua, pengiktirafan AFC Medical Centre of Excellence ini mula dilancarkan pada pada 2018 dengan tujuan memberi pengiktirafan kepada pusat perubatan dan klinik di asia yang mempamerkan penerajuan dalam kemahiran klinikal, pemulihan, penyelidikan, pendidikan termasuk pencegahan kecederaan serta menangani kecederaan dalam bola sepak tahap tertinggi.

Sebagai tambahan, antara fasiliti perubatan atau institusi lain di benua asia yang menerima pengiktirafan yang sama adalah seperti berikut:

  • Hospital Bangkok, Thailand
  • Centre for Sports Science, Sri Ramachandra Institute of Higher Education & Research, India
  • Algarhoud Private Hospital, Dubai
  • Transform Specialist Centre, UAE
  • Aspetar, Orthopaedic and Sports Medicine Hospital, Qatar
  • Chinese University of Hong Kong (CUHK), Hong Kong

Featured Image: Universiti Malaya Medical Centre Facebook

komen