Juanito Kelahiran Sepanyol Menjadi Pengendali Pertama Skuad Futsal JDT
January 12, 2023 Hafizuddin Omar

Pengendali kelahiran Sepanyol, Juan Antonio Miguel Garcia atau dikenali sebagai Juanito menjadi ketua jurulatih pertama bagi skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pengesahan kehadiran Juanito yang berusia 55 tahun itu ke dalam skuad futsal JDT diumumkan secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosial milik kelab berkenaan pada hari ini. 

Difahamkan, Juanito mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam arena futsal dengan tempoh hampir 22 tahun sebagai jurulatih.

Sepanjang tempoh itu, Juanito pernah membimbing beberapa pasukan Divisyen 1 negara kelahirannya seperti Real Betis, Palma Futsal dan Santa Caloma.

Selain itu, Juanito turut pernah berkelana di luar negara kelahirannya dengan melatih pasukan yang berpangkalan di Perancis (Sporting Clube de Paris), Qatar (Al Rayyan) dan Vietnam (Thai Son Bac).

Untuk makluman semua, JDT mengumumkan hasrat untuk menubuhkan skuad futsalnya yang tersendiri pada Oktober tahun lalu. 

Ianya bertujuan untuk mengambil bahagian dalam saingan futsal tanah air, Malaysia Premier Futsal League (MPFL) musim ini yang akan bermula Februari kelak.

Featured Image: Proneo Sports

Komen