Artikel

Terbuka Malaysia: Beregu Campuran No.5 Dunia Singkir Pang Ron-Mei Xing

Penglibatan beregu campuran, Hoo Pang Ron dan Teoh Mei Xing dalam kejohanan Terbuka Malaysia 2023 – Jelajah Dunia Super 1000 BWF – hanya bertahan setakat peringkat Pusingan 16 sahaja.

Gandingan semula pemain berusia 24 dan 25 tahun masing-masing itu terpaksa melupakan kejohanan yang berlangsung di Axiata Arena ini selepas disingkirkan oleh penghuni ranking kelima dunia, Thom Gicquel dan Delphine Delrue.

Pang Ron-Mei Xing tumpas kepada pasangan tersebut menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 18-21, 21-13 dan 12-21 dalam tempoh 62 minit permainan di Gelanggang 2.

Dengan kemenangan ini, beregu dari Perancis ini dapat meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir.

Menanti mereka di peringkat terbabit adalah samada beregu China merangkap penghuni ranking pertama dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong atau beregu Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen