Artikel

Terbuka Malaysia: Beregu No.1 China Tunjuk Pintu Keluar Kepada Juara Dunia

Gandingan Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi yang merupakan beregu No.1 China menunjukkan pintu keluar buat juara Kejohanan Dunia BWF 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik daripada saingan Terbuka Malaysia 2023.

Situasi itu terjadi selepas Yu Chen-Xuan Yi berhasil melakar kemenangan ke atas Aaron-Wooi Yik ketika turun beraksi di Pusingan 16 yang berlangsung pada petang tadi di Axiata Arena. 

Dalam pertarungan tersebut, gandingan dari negara tembok besar yang menduduki ranking keenam dunia itu meraih kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-10 dan 23-21 dalam tempoh 41 minit permainan di Gelanggang 1.

Keadaan ini sekaligus menghanguskan peluang Aaron-Wooi Yik untuk melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan sulung Jelajah Dunia BWF pada tahun ini yang bertaraf Super 1000.

Untuk makluman, ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut dialami oleh Aaron-Wooi Yik apabila bertemu Yu Chen-Xuan Yi di pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, dua kekalahan sebelum ini terjadi di saingan Terbuka Indonesia dan jelajah Akhir Dunia BWF pada tahun lalu.

Sementara itu, Yu Chen-Xuan Yu yang merakamkan kemaraan ke peringkat suku akhir akan bertemu beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada hari esok.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen