Artikel

Pemilik Kedah & Syafiq Ahmad Tak Buat Sebarang Perbincangan

Pemilik Kedah Darul Aman FC (Kedah), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar menegaskan tidak melakukan sebarang perbincangan dengan Syafiq Ahmad dalam lawatan rasminya ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Tokoh dan pakar kewangan Islam itu menjelaskan kehadirannya ke Ibu Pejabat JDT semalam bertujuan melakukan kunjungan hormat mengadap pemilik kelab berjulukan Harimau Selatan iaitu DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ).

“Sebagai pemilik Kedah, sebuah pasukan yang besar & mempunyai legasi yang lama lagi harum, saya perlu menjalankan tanggungjawab saya untuk membuat ‘connection’ dengan semua pemegang taruh khususnya mereka yang banyak berjasa, berperanan & mempunyai pengaruh dalam membentuk lanskap bola sepak negara.”

“Perkenalan & perbincangan dengan mereka yang lebih berpengalaman adalah jalan pintas untuk berjaya.”

“Paling kurang, saya ingin kurangkan titik-titik kesalahan & ketidakcekapan saya dalam menguruskam sebuah pasukan besar seperti pasukan Kedah. Saya ingin Kedah lebih laju. Boleh terbang dengan lebih dari dua sayap,”

“DYAM Tunku Ismail adalah seorang tokoh yang terbilang yang berjaya membina pasukan JDT sejak tahun 2013. Alhamdulillah, DYAM Tunku Ismail banyak luangkan masa menceritakan pengalaman dalam membina & menguruskan sebuah pasukan dari ground zero. Dari tanah rendah (low ground) ke tanah pertengahan (middle ground). Sekarang berada di tanah tinggi (high ground),” kongsinya menerusi laman sosialnya.

Selepas mengadap TMJ, beliau dibawa melawat Pusat Latihan JDT dan bertemu dengan pemain-pemain termasuk penyerang JDT yang pernah dipinjam oleh Kedah pada musim lalu, Syafiq Ahmad.

Penyerang berusia 27 tahun itu menyertai skuad Sang Kenari dengan kontrak pinjaman selama setahun. Bagaimanapun, tempoh pinjaman Syafiq bersama Kedah ditamatkan lebih awal apabila JDT bertindak memanggil semula Syafiq menyertai mereka pada Mei tahun lalu.

Featured Image: Dr Mohd Daud Bakar – Shariah Minds – Minda Syariah Facebook

komen