Terbuka Malaysia: Kodai Naraoka ‘Unstoppable’
January 13, 2023 Hafizuddin Omar

Momentum kemenangan pemain muda Jepun yang sedang meningkat naik, Kodai Naraoka di kejohanan Terbuka Malaysia ternyata tidak dapat dihentikan.

Selepas melakar kemenangan ke atas dua pemain Malaysia, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong di peringkat Pusingan 32 serta Pusingan 16 masing-masing, pemain berusia 21 tahun ini meneruskan rentak kemenangan itu ke atas pemain berpengalaman India, Prannoy H.S. di peringkat suku akhir.

Biarpun diberikan tentangan yang sengit serta terpaksa bertarung sehingga satu jam dan 24 minit, Kodai berhasil memastikan kemenangan berpihak kepadanya dengan meraih skor 16-21, 21-19 dan 21-10 di Gelanggang 2.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dilakar oleh Kodai bertemu Prannoy di pentas kejohanan antarabangsa.

Dua kemenangan terdahulu dilakar Kodai ketika di kejohanan Terbuka Singapura dan Jelajah Akhir Dunia BWF pada tahun lalu.

Sementara itu, kemenangan yang diraih Koda pada hari ini membolehkannya mara ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000 buat julung kali dalam kariernya.

Menantinya di peringkat separuh akhir yang akan berlangsung esok adalah jaguh perseorangan lelaki Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

Featured Image: Instagram Kodai Naraoka

Komen