Penyerang skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak bertindak pulang semula ke tanah air selepas empat tahun berkelana di negara matahari terbit, Jepun.
Pemain yang bakal menjengah usia 23 tahun tidak lama lagi ini menyambung karier bola sepaknya di Malaysia dengan menyertai skuad yang dibimbing oleh bekas ketua jurulatih bawah 16 tahun (B-16) kebangsaan, Lim Teong Kim iaitu Perak FC.
Penyertaan Hadi bersama skuad berjulukan The Bos Gaurus itu diumumkan secara rasmi oleh pihak kelab ketika majlis pengenalan jersi baharu bagi menghadapi saingan musim 2023, pada hari ini.
Untuk makluman semua, Hadi mula berkelana di Jepun dengan menandatangani kontrak bersama kelab divisyen kedua negara berkenaan, Fagiano Okayama pada Disember 2018.
Penyertaan tersebut hadir selepas Hadi menjalani latihan percubaan sebanyak dua kali bersama Fagiano Okayama.
Bagaimanapun, Hadi gagal meraih sebarang penampilan bersama skuad senior kelab berkenaan dan hanya beraksi bersama skuad remaja.
Pada awal tahun 2021, Hadi menyertai kelab yang beraksi di divisyen ketiga Jepun, Azul Claro Numazu dengan status pemain pinjaman daripada Fagiano Okayama.
Bersama Azul Claro Numazu, Hadi berhasil tembus ke skuad utama dan meraih penampilan. Namun begitu, situasi itu tidak kekal lama apabila Hadi ditimpa kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) sekaligus memaksanya berehat panjang.
Featured Image: Instagram Hadi Fayyadh