Beregu lelaki No.1 dunia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto memastikan tiada sebarang wakil dari Malaysia dapat mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia 2023.
Gandingan Fajar-Rian menghadirkan situasi berkenaan selepas melakar kemenangan ke atas wakil terakhir negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi di peringkat suku akhir, sebentar tadi.
Dalam pertarungan itu, Fajar-Rian berhasil merekodkan kemenangan menerusi skor 14-21, 21-16 dan 21-17 dalam tempoh masa lebih satu jam permainan yang berlangsung di Gelanggang 1, Axiata Arena.
Untuk makluman, ini merupakan kemenangan ketujuh dicetak oleh Fajar-Rian daripada sepuluh pertemuan menentang Yew Sin-Ee Yi di sebarang kejohanan antarabangsa.
Sementara itu, Fajar-Rian yang merekodkan kemenangan dapat meneruskan langkah ke peringkat separuh akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000 ini.
Menanti mereka di peringkat tersebut adalah beregu Korea yang berada di ranking ke-18 dunia, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae.
Sebagai tambahan, satu lagi wakil negara yang beraksi di peringkat suku akhir pada hari ini, beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei turut sama tidak dapat merakamkan kemaraan ke peringkat separuh akhir.
Kegagalan itu berpunca daripada tumpas kepada beregu No.3 dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Tearattanachai.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia