Courtsite – Aplikasi Untuk Tempahan Padang, Gelanggang & Ruangan Lebih 20 Jenis Sukan
January 16, 2023 Hafizuddin Omar

Sesuai dengan perkembangan pesat pendigitalan di negara ini, Courtsite, sebuah aplikasi web buatan Malaysia hadir buat penggemar sukan mahupun atlet untuk menempah padang, gelanggang dan ruangan untuk pelbagai jenis sukan secara atas talian.

Courtsite berperanan sebagai pusat sehenti penyenaraian digital fasiliti-fasiliti untuk pelbagai jenis sukan seperti badminton, bola sepak, futsal, tenis, bola keranjang, boling, go-kart, sukan dan aktiviti air serta banyak lagi.

Selain itu, Courtsite turut menawarkan penyenaraian ruangan untuk aktiviti dalaman (indoors) dan rekreasi seperti gimnastik, tarian dan senaman kecergasan.

Menerusi aplikasi ini, penggemar sukan dan atlet dapat melihat senarai padang, gelanggang dan ruangan sukan yang tersedia secara langsung untuk ditempah berserta butiran-butiran penting seperti lokasi dan harga yang ditetapkan.

Ini sekaligus dapat mengelakkan daripada proses tempahan secara manual yang memerlukan penempah membuat panggilan atau menghantar sebarang teks permesejan terlebih dahulu bagi bertanyakan ketersediaan dan harga padang mahupun gelanggang sukan yang diingini sebelum mengesahkan tempahan.

Sekiranya, padang dan gelanggang yang diingini sudah ditempah, ini memaksa mereka untuk mengulangi proses yang sama di tempat yang lain.

Setakat ini, Courtsite mempunyai lebih 100,000 pengguna berdaftar serta mengendalikan sebanyak 57 fasiliti sukan merentasi lapan buah negeri dengan kehadiran kukuh di Lembah Klang.

Komen