Artikel

Victor Beri Jaminan Terus Sokong Lee Zii Jia Walau Prestasi Merudum

Syarikat peralatan sukan yang berpangkalan di Taiwan, Victor memberikan jaminan akan terus menyokong jaguh badminton perseorangan lelaki tanah air, Lee Zii Jia walaupun prestasinya terus merudum.

Syarikat yang menjadi penaja utama pemain No.2 dunia itu menyatakan perkara tersebut menerusi satu ciapan di akaun Twitter rasminya, Victor Malaysia, semalam. 

“Jika prestasi Zii Jia terus merudum, penaja akan tetap terus memberi sokongan,” tulisnya sambil memberikan reaksi kepada laporan sebuah akhbar tempatan yang memetik komen penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli.

Dalam laporan itu, Dr. Pekan menyatakan, “Zii Jia kena ingat, jika prestasinya terus merudum dan tidak mencapai keputusan diharapkan, ia bukan sahaja akan memberi tekanan ke atas dirinya malah penaja juga mungkin akan menarik diri.”

Komen Dr. Pekan itu hadir ketika mengulas tindakan pemain bebas (independent) itu bergerak tanpa bimbingan jurulatih setelah berpisah dengan jurulatihnya, Indra Wijaya pada penghujung tahun lalu.

Pada masa yang sama, prestasi Zii Jia menjadi bualan hangat pelbagai pihak apabila terkandas seawal Pusingan 32 di kejohanan Terbuka Malaysia 2023 yang berlangsung di Axiata Arena, minggu lalu.

Ianya hadir setelah Zii Jia tumpas kepada pemain muda Jepun yang sedang meningkat naik, Kodai Naraoka menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-13, 17-21 dan 19-21.

komen