Kelab Denmark Uji Sabah & Terengganu Dalam Perlawanan Persahabatan Di Thailand
January 18, 2023 β€’ Hafizuddin Omar

Kelab yang beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak Denmark, Odense BK akan menguji dua pasukan Liga Super dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung pada Februari kelak.

Dua pasukan terbabit ialah Sabah FC dan Terengganu FC bimbingan Datuk Ong Kim Swee dan Tomislav Steinbruckner masing-masing.

Kelab berjulukan De Stribede mengesahkan perkara berkenaan menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang rasminya serta dikongsikan di pelbagai platform laman sosialnya, semalam.

Dalam kenyataan terbabit, Odense BK yang sedang menghuni tangga kelima Superliga pada ketika ini menyatakan skuad utamanya akan menjalani kem latihan di Thailand.Β 

Difahamkan, mereka akan berkampung dan mengadakan latihan harian di BG Training Centre yang selalunya digunakan Liga Thai 1, BG Pathum United.

Sebelum menyambung kembali saingan Superliga musim 2022-23 selepas cuti musim sejuk, Odense BK telah mengatur tiga perlawanan persahabatan sepanjang berada di Thailand.Β 

Mereka menjadualkan perlawanan menentang Sabah dan diikuti kelab Liga Thai 2, Nakhon Pathom United pada 3hb dan 7hb Februari masing-masing bertempat di BG Training Centre.

Akhir sekali, Odense BK menutup kem latihan mereka di Thailand dengan bertemu naib juara Liga Super dan Piala FA, Terengganu pada 12hb Februari bertempat di BG Stadium.

Selain menjalani kem latihan, Odense BK turut mengadakan kem latihan selama sehari buat kanak-kanak tempatan di sana untuk memberi peluang berlatih bersama-sama para pemain profesional mereka.Β 

Dimaklumkan, mereka akan terbang Thailand pada 31 Januari kelak.

Komen