6 Pemain Malaysia Menyerikan Baki Liga Thailand Musim 2022-23
January 18, 2023 Hafizuddin Omar

Seramai enam pemain Malaysia akan menyerikan baki saingan Liga Thailand musim 2022-23. Sebelum ini, hanya seorang sahaja pemain Malaysia yang beraksi di sana iaitu Liridon Krasniqi bersama Khon Kaen United.

Bagaimanapun, jendela perpindahan pertengahan musim yang dibuka bermula 19 Disember dan berakhir pada 17 Januari menyaksikan penambahan lima lagi pemain Malaysia menyertai kelab-kelab yang berpangkalan di negara yang turut sinonim dengan gelaran Gajah Putih.

Berikut adalah senarai enam pemain Malaysia yang beraksi di Liga Thailand tersebut:

#1 Liridon Krasniqi 

Kelab: Khon Kaen United

Julukan: The King Cobras

Liga: T1

Seperti kita sedia maklum, pemain naturalisasi kebangsaan ini menyertai Khon Kaen United pada Ogos tahun lalu dengan kontrak pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT). Setakat ini, pemain tengah yang terkenal dengan nama panggilan Matdon ini telah merekodkan 8 penampilan dimana empat daripadanya sebagai pemain kesebelasan utama bersama Khon Kaen United dalam kesemua pertandingan.

 

#2 Dion Cools 

Kelab: Buriram United

Julukan: Thunder Castle

Liga: T1

Tatkala ramai peminat bola sepak tanah air menyangka pertahanan kacukan Belgium-Malaysia ini akan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT), Dion Cools membuat kejutan dengan menyertai Buriram United selepas meninggalkan FK Jablonec. Butiran kontraknya bersama kelab gergasi Thailand tidak didedahkan kepada umum namun difahamkan Cools akan bersama Buriram untuk suatu tempoh yang agak panjang. Cools tampil beraksi bersama Buriram buat pertama kalinya dalam perlawanan persahabatan menentang Kelantan, Ahad lalu.  

 

#3 Safawi Rasid 

Kelab: Ratchaburi FC

Julukan: The Dragons

Liga: T1

Penyerang sayap kebangsaan, Safawi Rasid turut sama memilih kelab berpangkalan di Thailand sebagai destinasi seterusnya dalam karier bola sepaknya. Pemain berusia 25 tahun ini menyertai Ratchaburi dengan kontrak pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

 

#4 Junior Eldstal a.k.a Putera Nadher Amarhan

Kelab: PT Prachuap

Julukan: The Killer Wasps

Liga: T1

Pertahanan berdarah campuran Sweden-Malaysia, Junior Eldstal kembali semula ke saingan Liga Thailand dengan menyertai PT Prachuap. Sebelum ini, pertahanan berusia 31 tahun ini pernah beraksi di sana bersama Chonburi FC sekitar tahun 2021 hingga 2022 sebelum menyertai Johor Darul Ta’zim pada jendela perpindahan pertengahan musim 2022. 

 

#5 Stuart Wark 

Kelab: Kasetsart FC 

Julukan: Look Nontree The Emerald Nagas

Liga: T2

Seorang lagi pertahanan kacukan yang merupakan berdarah campuran Scotland-Malaysia, Stuart Wark turut memilih Thailand sebagai destinasi seterusnya untuk meneruskan karier bola sepak selepas dua musim bermain bersama Sarawak United FC. Untuk makluman, ini merupakan kali pertama Stuart beraksi dalam kancah bola sepak Thailand.

 

#6 Zafuan Azeman 

Kelab: Uthai Thani

Julukan: The Elephants

Liga: T2

Bekas penyerang skuad bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan, Zafuan Azeman pernah menyepi seketika daripada arena bola sepak membuat kejutan dengan menyertai Uthai Thani FC yang beraksi dalam kancah divisyen kedua bola sepak Thailand. Dimaklumkan, Zafuan menandatangani kontrak selama setahun dan setengah bersama skuad berjulukan The Elephants. Bagaimanapun, Thailand bukanlah sesuatu yang asing buat pemain yang berusia 23 tahun ini. Zafuan pernah bermain bersama Angthong FC yang bersaing dalam divisyen ketiga Thailand sekitar 2019 hingga 2020.

Komen