Terbuka India: Aaron-Wooi Yik, Beregu No.3 Taiwan Berentap Lagi
January 18, 2023 Hafizuddin Omar

Juara Kejohanan Dunia BWF 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan membuat perhitungan sekali lagi dengan beregu No.3 Taiwan, Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan di peringkat Pusingan 16 Terbuka India, pada hari esok.

Pertemuan terbabit terjadi selepas Aaron-Wooi Yik berjaya menumpaskan beregu muda senegara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun secara “straight set”dengan skor 23-21 dan 21-10 pada Pusingan 32, sebentar tadi.

Sementara itu, beregu Taiwan yang menghuni ranking ke-34 dunia terbabit mara ke peringkat yang sama selepas menyingkirkan gandingan Jepun, Keiichiro Matsui dan Yoshinori Takuechi dengan skor 21-14 dan 21-13.

Pertemuan yang berlangsung pada hari esok akan menjadi yang ketiga melibatkan kedua-dua beregu ini di pentas antarabangsa. 

Untuk makluman, kedua-dua pasangan baru sahaja berentap sesama sendiri di kejohanan Terbuka Malaysia pada minggu lalu.

Dalam pertemuan yang cukup sengit tersebut, Aaron-Wooi Yik berhasil melakar kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 16-21, 21-15 dan 21-16 sekaligus melangkah ke Pusingan 16.

Sebelum itu, pertembungan julung kalinya antara kedua-dua pasangan yang berlangsung semasa kejohanan Terbuka Thailand 2022 turut memihak kepada Aaron-Wooi Yik dengan keputusan 21-18 dan 21-16.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen