Peluang Bergambar Dengan Trofi Piala FA Di Shah Alam Pada 25 Januari
January 18, 2023 Hafizuddin Omar

Peminat bola sepak tempatan berpeluang untuk melihat dengan dekat serta bergambar dengan trofi kejohanan kalah mati tertua di dunia, Piala FA Inggeris.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, trofi itu akan dibawa untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai di Central i-City, Shah Alam pada 25 Januari (Rabu) kelak.

Pihak penganjur menetapkan dua tempoh iaitu jam 10 hingga 11.30 pagi serta 1 petang hingga 9 malam untuk tontonan serta peluang orang ramai mahupun para peminat untuk merakamkan gambar kenangan bersama trofi tersebut. 

Untuk pengetahuan semua, Malaysia menjadi salah satu lokasi penyinggahan bagi Jelajah Trofi Asia Pasifik yang berlangsung dari 25 hingga 29 Januari.

Jelajah itu bermula di Sydney, Australia (23 Januari) sebelum dibawa ke Malaysia (25 Januari). Kemudiannya, trofi tersebut akan melintasi Tambak Johor untuk ke Singapura (26 Januari) sebelum mengakhiri jelajah ini di Seoul, Republik Korea (28-29 Januari).

Komen