Terbuka India: Beregu No.1 Dunia Tumpaskan Soon Huat-Shevon Buat Kali Ke-10
January 18, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.1 dunia, Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong melakar kemenangan kesepuluh secara berturut-turut ke atas pasangan negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai.

Kemenangan terbaru beregu dari China itu hadir pada perlawanan peringkat Pusingan 32 di kejohanan Terbuka India, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Si Wei-Ya Qiong menumpaskan Soon Huat-Shevon yang menghuni ranking ketujuh dunia secara “straight set” dengan skor 21-11 dan 21-7 dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

Kekalahan ini sekaligus membuatkan Soon Huat-Shevon terpaksa melupakan kejohanan berstatus Jelajah Dunia BWF Super 750 ini.

Untuk makluman, ini merupakan perlawanan kedua berturut-turut melibatkan kedua-dua beregu pada tahun ini selepas bertarung di saingan Terbuka Malaysia, pada minggu lalu.

Pada pertemuan itu, Soon Huat-Shevon turut mengalami kekalahan secara “straight set” dengan skor yang berkesudahan 16-21 dan 10-21. Si Wei-Ya Qiong yang meraih kemenangan pada perlawanan tersebut berhasil meneruskan kemaraan sehingga bergelar juara Terbuka Malaysia, pada Ahad lalu.

Sebagai rekod, Si Wei-Ya Qiong dan Soon Huan-Shevon berentap buat julung kalinya pada saingan Indonesia Masters 2018.

Ianya diikuti dengan pertemuan di Jelajah Dunia Akhir BWF 2018, Indonesia Masters 2019, Terbuka Perancis 2019, Terbuka Fuzhou China 2019, Malaysia Masters 2020, Malaysia Masters 2022, Terbuka Denmark 2022, Terbuka Malaysia 2023 dan Terbuka India 2023.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen