Terbuka India: Zii Jia Lepasi Cabaran Shesar Di Pusingan 32
January 18, 2023 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton perseorangan lelaki tanah air, Lee Zii Jia berhasil melepasi cabaran pemain Indonesia sekaligus mengelak daripada mengulangi skrip terkandas pada Pusingan 32 seperti di kejohanan Terbuka Malaysia, minggu lalu. 

Ketika turun berhadapan dengan Shesar Hiren Rhustavito di saingan Terbuka India pada petang tadi, Zii Jia melakar kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 20-22, 21-19 dan 21-12.

Perlawanan melibatkan pemain yang menduduki ranking kedua dan ke-24 dunia itu berlangsung melebihi satu jam permainan di Gelanggang 1 bertempat di KD Jadhav Indoor Hall, New Delhi.

Untuk makluman semua, ini merupakan pertemuan kesepuluh melibatkan kedua-dua pemain di pentas antarabangsa.

Kemenangan dilakar Zii Jia pada hari ini menjadikan rekod pertemuan Zii Jia dan Shesar seimbang lima kemenangan masing-masing.

Sementara itu, Zii Jia yang berjaya melangkah ke Pusingan 16 saingan berstatus Jelajah Dunia Super 750 BWF ini akan menantikan cabaran samada daripada pemain China ranking ke-22, Li Shi Feng atau pemain senegara yang menduduki ranking ke-27, Ng Tze Yong.

Featured Image: Badminton Asia

Komen