Artikel

Bekas Bek Import Terengganu Sertai Kelab Kendalian Kiatisuk Senamuang Di Vietnam

Bekas pertahanan import Terengganu FC, Pape Diakite memilih untuk kembali semula ke kancah bola sepak Vietnam setelah khidmatnya tidak disambung oleh naib juara Piala FA dan Liga Super itu pada penghujung tahun lalu.

Kelab di Vietnam yang menjadi pilihan bek tengah tinggi lampai ini ialah Hoang Anh Gia Lai (HAGL) yang dibimbing oleh legenda skuad kebangsaan Thailand, Kiatisuk Senamuang atau terkenal dengan nama panggilan Zico.

HAGL mengumumkan penyertaan Pape secara rasmi menerusi platform laman sosialnya, semalam.

Pengumuman Pape itu turut hadir bersama-sama dua lagi pemain import lain iaitu penyerang Brazil, Paollo Madeira Oliveira dan Wahington Brandao Dos Santos. 

Kancah bola sepak Vietnam tidak asing buat pertahanan kelahiran Senegal yang berusia 30 tahun ini. Sebelum menyertai Terengganu, Pape telah beraksi bersama dua buah kelab Vietnam iaitu Ho Chi Minh City dan Saigon FC.

Untuk makluman, Pape merupakan salah seorang daripada lima tonggak import iaitu Kpah Sherman, Tchetche Kipre, Manuel Ott dan Petrus Shitembi yang tidak disambungkan kontrak.

Bercakap mengenai kelab baharu yang disertai Pape, musim lalu HAGL menamatkan saingan Liga Vietnam di tangga keenam dengan mengutip 32 mata hasil melakar tujuh kemenangan dan sebelas keputusan seri.

Featured Image: Instagram Kiatisuk Senamuang

komen