Artikel

Selangor FC Umum Pasukan Esports Yoodo Red Giants – Tumpu Dalam Permainan Mobile Legends

Kelab berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC melakar sejarah dengan menjadi pasukan bola sepak pertama di Malaysia yang mempunyai pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) tersendiri.

Pasukan ini diberi nama Yoodo Red Giants dan akan bertanding di kejohanan Mobile Legends Professional League (MPL) musim ke-11 yang bermula pada Februari kelak.

Perkara ini diumumkan dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Latihan Selangor FC sambil disaksikan oleh Pengerusi Selangor FC, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) Selangor FC, Aladdin Mostafa, Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MPL Malaysia, Fikri Rizal Mahruddin, serta Pengarah Urusan Protech, Datuk Ronnie Chong.

Dalam majlis ini juga, Yoodo dan Protech Sports diumumkan sebagai ‘Official Digital Telco’ dan ‘Official Kit Partner’ masing-masing.

Ahli pasukan Yoodo Red Giants ini terdiri daripada Muhammad Yaacob (ESHA OHANA), Mohd Hakim (KAIZER), Syed Naufal Fitri(SYF), Ilman Zareef (GOJES), Muhammad Amir Zakwan(ZAKQT) dan Muhammad Haqqulah (SEKYS) dengan Mohd Erwin (RUSH) menjadi pengurus.

Untuk makluman, pasukan ini dahulunya dikenali sebagai ELX Esports. Sebelum ini, mereka berjaya melayakkan diri ke MPL musim ke-11 melalui pusingan kelayakan pada tahun lepas.

Antara pencapaian lain pernah diraih mereka adalah juara EsportsMY Championship, Malaysia Semi Pro League, Hari Sukan Belia Negara, GMX Cup, Nescafe SMG Cup, Piala Ketua Menteri Melaka dan Iskandar Puteri Tournament.

Ini merupakan penambahan pasukan esports terbaru oleh Selangor FC selepas mempunyai pasukan esports untuk FIFA.

komen