Herlison Caion Sasar Jaring Lebih 24 Gol Bersama KL City
January 20, 2023 Hafizuddin Omar

Penyerang baharu Kuala Lumpur City FC (KL City), Herlison Caion meletakkan sasaran untuk menjaringkan lebih daripada 24 gol bersama kelab baharunya pada musim 2023.

Sasaran itu melebihi jaringan yang dilakarnya ketika bersama bekas kelabnya, Selangor FC dalam kesemua kejohanan pada musim lalu.

Keyakinan untuk meletakkan sasaran tersebut terbit atas keterujaannya terhadap barisan serangan skuad The City Boys yang mempunyai gabungan muka lama dan baharu yang cukup meyakinkan pada musim ini.

“Di bahagian serangan saya rasa teruja kerana di sini ada (Tchetche) Kipre, Paulo (Jouse), (Romel) Morales dan seorang lagi Patrick (Reichelt), saya pernah beraksi bersamanya dengan Suphanburi.

“Jadi melalui kehadiran ramai pemain sebegini, saya rasa kian bersemangat untuk membuktikan sesuatu di KL City.

“Malah saya meletakkan azam untuk menjaringkan lebih banyak gol berbanding semasa di Selangor FC selepas menjaringkan 24 gol pada musim lalu,” katanya.

Mengulas mengenai perpindahannya ke KL City, Caion mengetahui ianya merupakan satu berita yang mengejutkan ramai peminat.

Jelasnya, penerimaan tawaran untuk bergabung dengan finalis Piala AFC 2022 itu dibuat atas faktor ahli keluarganya sudah selesa tinggal di Lembah Klang selain mahu bekerjasama dengan Bojan Hodak.

“Saya tahu ramai yang terkejut apabila ketahui saya datang ke sini tetapi ini bukan satu keputusan yang sukar sebenarnya apabila tawaran dari KL City datang.

“Bukan sahaja saya, isteri saya juga sangat selesa tinggal di Lembah Klang dan itu membuatkan saya terus menerima peluang bersama KL City.

“Dalam masa sama, saya tidak sabar bekerjasama dengan Bojan, salah seorang jurulatih yang berpengalaman dan harap saya boleh mengikuti taktikal yang direncanakan oleh beliau,” katanya.

Featured Image: Kuala Lumpur City

Komen