Artikel

Selangor FC Ikat Rauf Salifu – Bekas Penyerang MLS NEXT Pro

Skuad berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC menandatangani seorang lagi pemain import baharu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2023 yang akan bermula pada penghujung Februari kelak.

Menerusi makluman di laman sesawang rasminya pada hari ini, skuad berjulukan Red Giants ini mengumumkan penyerang berusia 20 tahun yang beraksi di kancah MLS NEXT Pro di Amerika Syarikat pada tahun lalu, Rauf Salifu menjadi pemain import terbarunya.

Rauf merupakan pemain kelahiran Ghana memulakan karier bola sepak profesional bersama Accra Lions FC pada tahun 2018. 

Prestasi cemerlangnya pada musim 2020-21 dengan merekodkan 21 jaringan dalam 28 perlawanan telah membantu Accra Lions mendapat promosi ke saingan divisyen pertama Ghana.

Rekod itu juga telah membuka jalan buatnya untuk beraksi di Amerika Syarikat bersama skuad pembangunan Sporting Kansas City iaitu Sporting Kansas City II yang beraksi dalam liga simpanan, MLS NEXT Pro.

Ketika beraksi di sana, Rauf berjaya menempa nama sebagai pemain pertama dalam sejarah liga tersebut menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan.

Untuk makluman semua, Rauf menjadi pemain import kedua yang ditandatangani oleh Selangor FC selepas Noor Al-Rawabdeh pada jendela perpindahan kali ini.

Featured Image: Accra Lions FC

komen