Skuad bola sepak kebangsaan Vietnam berkemungkinan besar akan mendapatkan khidmat jurulatih Perancis bagi menggantikan Park Hang-seo yang akan tamat kontraknya pada 31 Januari.
Menurut laporan VnExpress International, jurulatih Perancis yang dimaksudkan ialah Philippe Troussier yang telah mencapai perjanjian awal dengan Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) untuk melatih skuad berjulukan Naga Emas itu.
Tambah laporan itu lagi, jurulatih berusia 67 tahun itu cukup berminat untuk melatih skuad kebangsaan Vietnam dan perkara itu membuatkan rundingan antara kedua-dua pihak berjalan lancar.
Bagaimanapun, perkara terakhir dalam rundingan hanyalah berkenaan gaji dan ianya akan diselesaikan apabila VFF mendapat rakan kongsi untuk membayar sebahagian daripada gaji Troussier dan penolongnya.
Sebelum ini, VFF juga mempunyai rakan kongsi yang membayar gaji Coach Park dan penolongnya.
Troussier yang pernah menjadi ketua jurulatih untuk beberapa buah negara seperti Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Jepun, Qatar dan Maghribi bukanlah individu yang asing dalam kancah bola sepak Vietnam.
Beliau pernah memegang jawatan sebagai Penasihat Strategik dan Pengarah Teknikal di Promotion Fund of Vietnamese Football Talent (PVF) Academy pada 2018.
Setahun kemudian, Troussier dilantik sebagai ketua jurulatih bagi skuad bawah 19 tahun (B-19) Vietnam yang kemudiannya berhasil membimbing skuad itu layak ke saingan Piala Asia B-19 2020.
Antara pencapaian terbaiknya dalam karier kejurulatihan adalah mengemudi skuad Samurai Biru memenangi Piala Asia 2000 dan melangkah ke Pusingan 16 dalam kejohanan Piala Dunia 2002 – kemaraan pertama dalam pembabitan Jepun di kancah Piala Dunia.
Difahamkan, VFF tidak mengumumkan lagi perundingan ini sebagai penghormatan kepada Coach Park yang masih mempunyai baki kontrak sehingga 31 Januari.
Featured Image: VFF