Indonesia Masters: Aaron-Wooi Yik Bakal Bertemu Wei Keng-Wang Chang Lagi? 
January 25, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tidak mempunyai masalah untuk melangkah ke Pusingan 16 dalam saingan Indonesia Masters 2023 – Jelajah Dunia Super 500 BWF.

Pasangan yang menghuni ranking kedua dunia ini memastikan kemaraan tersebut dengan menumpaskan beregu senegara, Boon Xin Yuan dan Wong Tien Ci di peringkat Pusingan 32, sebentar tadi.

Dalam pertembungan itu, Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-14 dan 21-9 dalam tempoh 30 minit permainan di Gelanggang 1 yang bertempat di Istora Gelora Bung Karno.

Di pusingan 16 kelak, Aaron-Wooi Yik berkemungkinan besar akan berhadapan dengan lawan yang dihadapinya pada perlawanan akhir Terbuka India pada minggu lalu iaitu Liang Wei Keng dan Wang Chang.

Beregu China yang menghuni ranking ketujuh dunia ini akan turun menentang gandingan No.16 dunia dari Jerman, Mark Lamsfuss dan Marvin Seidel sebentar lagi.

Dijangka pertembungan ini bakal memihak kepada Wei Keng-Wang Chang berdasarkan kepada prestasi semasa lebih-lebih lagi mereka masih segar dengan kejayaan meraih kejuaraan Terbuka India dan naib juara Terbuka Malaysia dalam dua kejohanan Jelajah Dunia lalu.

Jika kemenangan berpihak kepada Wei Keng-Wang Chang dan mara ke Pusingan 16, mereka akan berentap menentang Aaron-Wooi Yik buat kali keempat di pentas antarabangsa.

Sebaga rekod, pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pasangan ini pada perlawanan akhir Terbuka India, Ahad lalu berakhir dengan keputusan 14-21, 21-19 dan 21-18 berpihak kepada Wei Keng-Wang Chang.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen