Artikel

Bale Umum Sertai Kejohanan Jelajah PGA 2 Minggu Selepas Bersara Bola Sepak

Bekas bintang Real Madrid dan skuad kebangsaan Wales, Gareth Bale dilihat bakal menjadikan golf sebagai karier baharunya selepas bersara daripada bola sepak. Sebelum ini, sukan tersebut hanyalah sebagai hobinya.

Perkembangan itu hadir setelah bekas pemain berusia 33 tahun ini mengumumkan akan menyertai kejohanan golf, AT&T Pebble Beach Pro-Am – salah sebuah kejohanan di bawah Jelajah PGA – pada awal Februari nanti di California, Amerika Syarikat.

“Saya dengan berbesar hatinya mengumumkan akan bermain di kejohanan AT&T Pebble Beach Pro-Am pada awal bulan depan! Ayuh.” tulisnya di laman sosialnya, semalam.

Pengumuman itu hadir kira-kira dua minggu selepas Bale mengumumkan bersara daripada dunia bola sepak.

Sebelum bersara, Bale telah merangkul beberapa kejuaraan utama dalam dunia bola sepak seperti Piala Dunia Kelab FIFA, Super Cup UEFA, Liga Juara-Juara UEFA, juara La Liga, Copa Del Rey, Supercopa de Espana, Piala Liga Inggeris (EFL) dan beberapa lagi daripada beberapa kelab yang disertainya.

Untuk makluman semua, kejohanan profesional itu akan disertai 156 pemain profesional dan menawarkan hadiah berjumlah AS$9 juta atau bersamaan sekitar RM38.40 juta.

Featured Image: Instagram Gareth Bale

komen