Perlawanan Sumbangsih & Saingan Pertama Liga Super Kembali Digabungkan
January 26, 2023 Hafizuddin Omar

Malaysian Football League (MFL) menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Stuart Ramalingam mengumumkan Perlawanan Sumbangsih dan perlawanan pertama Liga Super kembali digabungkan pada musim ini.

Oleh demikian, Perlawanan Sumbangsih yang menemukan juara dan naib juara Liga Super 2022 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC turut sama menjadi perlawanan pertama LIga Super 2023 bagi kedua-dua pasukan tersebut.

Perlawanan itu akan berlangsung di gelanggang milik skuad berjulukan Harimau Selatan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 24 Februari (Jumaat) kelak.

Ini bermakna, pemenang perlawanan ini bukan sahaja akan menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah bahkan turut mengutip tiga mata bagi perlawanan Liga Super.

Sekiranya ianya berakhir dengan keputusan seri setelah tamat 90 minit permainan, pemenang bagi Piala Sultan Haji Ahmad Shah akan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti manakala satu mata masing-masing akan dipungut bagi perlawanan Liga Super. 

Sementara itu, bagi perlawanan pertama Liga Super melibatkan pasukan-pasukan lain akan dilangsungkan pada hari Sabtu dan Ahad berikutnya, 25 dan 26 Februari.

Sebagai rekod, saingan Perlawanan Sumbangsih 2022 yang menemukan JDT dan Kuala Lumpur City FC diadakan secara berasingan dengan perlawanan pertama Liga Super.

 Featured Image: Malaysian Football League

Komen