Artikel

14 Kelab Sertai Liga Super 2023, Pengambilalihan PJ City Tak Diluluskan MFL

Sebanyak 14 kelab akan beraksi dalam kancah Liga Super musim ini, umum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL) dalam sesi Taklimat Media Kalendar Liga Malaysia 2023 pada hari ini.

14 kelab tersebut ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu, Sabah, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur City, Sri Pahang, Kedah Darul Aman, Penang, Kelantan, Kuching City, Kelantan United, PDRM dan Perak.

Sepatutnya, saingan musim ini akan disertai sebanyak 18 buah kelab setelah MFL membuat keputusan untuk menggabungkan kelab-kelab dalam saingan Liga Super dan Liga Premier pada tahun lalu.

Bagaimanapun, jumlah itu tidak dapat direalisasikan ekoran dua buah kelab, Melaka United dan Sarawak United gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi membolehkan mereka bertanding dalam saingan Liga Super.

Manakala dua buah pasukan lagi iaitu UITM FC dan Petaling Jaya City (PJ City) pula bertindak menarik diri daripada saingan ini walaupun berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Difahamkan, ada pihak yang ingin mengambil alih PJ City, namun begitu, Stuart memaklumkan proses pengambilalihan itu tidak diluluskan oleh MFL sekaligus menyaksikan ianya akan disertai oleh 14 buah kelab sahaja pada musim ini.

Untuk makluman semua, minggu perlawanan pertama Liga Super akan bermula 24-26 Februari dan perlawanan minggu ke-26 merangkap minggu terakhir akan berlangsung pada 17 Disember.

Sebagai tambahan, jumlah keseluruhan perlawanan Liga Super pada musim ini adalah sebanyak 182 perlawanan – peningkatan sebanyak 50 perlawanan berbanding saingan musim lalu.

Featured Image: Malaysian Football League

komen