Kelab berpangkalan di pantai timur, Kelantan FC mengumumkan membentuk kerjasama dengan platform crowdfunding ekuiti, pitchIN bagi meraih dana sehingga RM100 juta.
Perkara tersebut diumumkan oleh pemilik skuad berjulukan The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman dalam majlis menandatangani persefahaman bersama (MOU) antara Kelantan FC dan pitchIN bertempat di Las Coffee, Hotel Zamburger Kota Warisan, Sepang pada hari ini.
Susulan itu, Norizam turut mengumumkan pitchIN yang menyediakan platform buat Kelantan FC mengumpulkan dana ini sebagai rakan strategik dan penaja bersamanya bermula musim ini.
Difahamkan, dana RM100 juta itu akan diraih dengan menerbitkan aset digital iaitu Token TRW buat para peminat dengan harga jualan maksimum RM2000 dan bakal didagangkan di platform Luno.
Norizam meletakkan sasaran seramai 50,000 orang untuk mendapatkan token tersebut bagi meraih nilai RM100 juta buat kelabnya.
Jelasnya, jumlah yang diraih itu akan digunakan untuk mengadakan pelbagai fasiliti buat Kelantan FC seperti padang latihan, pusat rehabilitasi, stadium mini termasuk mendapatkan jet peribadi untuk kegunaan skuadnya bagi mengharungi perlawanan-perlawanan bola sepak di pelbagai tempat.
Bagi pemegang-pemegang Token TRW, Norizam merancang untuk memberikan keistimewaan dalam menentukan beberapa keputusan dalam kelab dan skuad Kelantan FC menerusi undian seperti pemilihan pemain atau pengekalan jurulatih dan sebagainya.
Norizam menambah, pemilihan pitchIN dibuat atas faktor berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi memastikan kepercayaan dan ketelusan dalam mendapatkan duit daripada para peminat dan orang ramai.
Sebagai rekod, Kelantan FC menjadi kelab bola sepak tanah air yang kedua selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bekerjasama dengan Socios untuk menawarkan token buat para peminatnya.