Format kejohanan bola sepak tertua di rantau asia, Piala Malaysia kekal sebagaimana penganjurannya pada edisi musim lalu.
Demikian pengesahan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam kepada para pengamal media yang hadir pada sesi Taklimat Media Kalendar Liga Malaysia 2023, semalam.
Ini bermakna saingan Piala Malaysia kekal dengan penglibatan sebanyak 16 buah kelab dan dimulakan dengan peringkat Pusingan 16 yang dimainkan secara timbal balik dan kalah mati.
Sedikit pembaharuan dilakukan oleh MFL pada musim ini adalah dua slot akan diberikan kepada kelab yang beraksi di Liga M3 manakala 14 buah kelab lagi datangnya daripada saingan Liga Super.
Dari segi kelayakan dan proses undian, kelab yang menghuni kedudukan pertama hingga kelapan dalam saingan Liga Super pada minggu ke-13 akan menjadi pasukan seeded.
Manakala kelab kesembilan hingga ke-14 Liga Super dan dua kelab daripada daripada saingan Liga M3 akan diundi untuk menentukan lawan masing-masing bertemu pasukan seeded.
Tambah Stuart lagi, perlawanan peringkat suku akhir dan separuh akhir turut dilangsungkan secara timbal balik. Manakala venue bagi perlawanan akhir akan ditentukan oleh MFL kelak.
Sebagai tambahan, saingan Piala Malaysia akan bermula pada 3-6 Ogos dan perlawanan akhirnya ditetapkan pada 9 Disember.
Featured Image: Malaysian Football League