Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman hanya meletakkan sasaran buat pasukannya yang kini dibimbing oleh ketua jurulatih dari Korea, Choi Moon-sik untuk berada dalam kalangan 10 pasukan teratas dalam saingan Liga Super 2023.
Bagaimanapun, Norizam yang juga merupakan ahli perniagaan dan pelaburan mengharapkan pasukannya yang berjulukan The Red Warriors (TRW) dapat memberikan kejutan dalam saingan musim ini walaupun tidak meletakkan sasaran yang tinggi.
Perkara itu dikongsikan oleh Norizam dalam sidang media Majlis Menandatangani MOU Antara Kelantan FC dan pitchIN di Las Coffee Kota Warisan, Sepang pada hari ini.
“Kita harap Kelantan tahun ini main bagus, di bawah naungan Coach Choi Moon-sik (seorang) jurulatih yang berpengalaman, harapnya kita dapat membawa satu perkembangan baik terhadap (permainan) bola sepak kami,”
“Walaupun kita tiada target untuk jadi juara, (atau) tiada target untuk jadi top 3, kita letak target untuk ‘top 10’ sahaja, tetapi sekurang-kurangnya kita cuba untuk buat satu kejutan, Insya-Allah.” kongsinya kepada para tetamu dan pengamal media yang hadir.
Bagi mengharungi saingan musim ini, selain membawa ketua jurulatih baharu, Kelantan turut membawa beberapa pemain baharu ke dalam skuadnya.
Sebagai rekod, kali terakhir Kelantan beraksi dalam kancah Liga Super adalah pada musim 2018 yang lalu.
Untuk makluman semua, Kelantan berhasil mendapat promosi ke saingan Liga Super secara merit dengan menamatkan saingan Liga Premier 2022 di tangga kedua walaupun penganjur, Malaysian Football League (MFL) memberikan promosi kepada semua pasukan.
Featured Image: Kelantan FC