Pasukan-pasukan yang menghuni Kumpulan A dan B bagi saingan edisi sulung liga simpanan bawah 23 tahun (B23) iaitu Piala MFL telah diketahui pada hari ini.
Hasil majlis undian yang berlangsung sebentar tadi menyaksikan sebanyak lapan buah pasukan iaitu Skuad Projek FAM-MSN, PDRM FC, Kedah Darul Aman, Penang, Johor Darul Ta’zim II, Terengganu II, Sabah dan Kelantan United diletakkan dalam Kumpulan A.
Manakala tujuh buah pasukan lagi yang terdiri daripada Selangor, Kuala Lumpur City, Perak, Negeri Sembilan, Sri Pahang, Kuching City dan Kelantan mengisi Kumpulan B.
🗳 Keputusan undian Piala MFL 2023!
Pasukan manakah yang akan muncul juara sulung pertandingan ini? 🤩#PialaMFL2023 pic.twitter.com/y1fPluD5qT
— Malaysian Football League (@MFL_MY) January 31, 2023
Untuk makluman semua, saingan Piala MFL bagi peringkat kumpulan akan membuka tirainya pada 2 Mac kelak dan tamat pada 24 Julai.
Empat pasukan teratas Kumpulan A dan B akan mara ke saingan Liga Juara yang membabitkan lapan buah pasukan. Di peringkat ini, mereka akan beraksi dengan format liga sepusingan “round-robin” bermula 1 Ogos hingga 30 Oktober.
Saingan ini akan menutup tirainya dengan dua pasukan terbaik Liga Juara akan berentap dalam satu perlawanan akhir untuk merebut trofi Piala MFL pada 5 November.