Astro Siar Perlawanan Liga Malaysia Secara HD
February 1, 2023 Hafizuddin Omar

Penganjur bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan televisyen berbayar, Astro dan stesen televisyen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi Rakan Penyiar Rasmi dan Rakan Penyiar Liga Malaysia 2023 masing-masing.

Susulan pengumuman ini, kesemua perlawanan yang melibatkan saingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Perlawanan Sumbangsih), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia akan disiarkan Astro dalam definisi tinggi (HD).

Selain itu, kesemua perlawanan terbabit turut boleh ditonton menerusi platform linear (TV), On Demand dan Astro GO.

Dimaklumkan, kolaborasi MFL dan Astro ini berlangsung selama tiga tahun sekaligus menyaksikan mereka akan menyiarkan perlawanan-perlawanan bola sepak tempatan sehingga tahun 2025. Jalinan kerjasama ini dimulakan dengan aksi melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC pada 24 Februari nanti.

Sementara itu, stesen televisyen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan sebanyak 75 perlawanan secara langsung bagi musim ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil berkongsikan perlawanan-perlawanan tersebut akan disiarkan di saluran TV2, Sukan RTM, TV Okey serta secara penstriman langsung melalui aplikasi RTMKlik.

Komen