Penyenaraian penjaga gol, Aqil Akashah Muhammad Nazmi dalam kelompok 40 pemain ke kem latihan pusat fasa 1 skuad B-17 kebangsaan bimbingan Osmera Omaro menjelang saingan Piala Asia B-17 2023 di Thailand mengejutkan bekas kelab remajanya, Kerteh FC.
Pada masa yang sama, Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim tumpang gembira atas penyenaraian pemain berketinggian 1.80 meter (m) tersebut dan melihat ianya menjadi satu perkembangan yang baik buat skuad berjulukan The Oilers.
“Kami sebenarnya agak terkejut dengan berita tersebut. Namun dalam masa yang sama kami juga menumpang gembira dan bersyukur atas perkembangan yang positif untuk karier beliau.” katanya.
Bercerita lanjut kepada kepada Sukanz, Razeman berkata bakat Aqil dikesan oleh bekas Head of Grassroots, Sir Al Hafiz Abd Aziz ketika bermain sebagai penjaga gol futsal bersama rakan-rakannya di kampung-kampung sekitar Kertih.
Kemudiannya, Aqil dibawa berlatih bersama skuad bawah 14 tahun (B-14) Kerteh FC dan dilatih oleh penjaga gol, Noordin Pidalah dan Zulhafiz Zulkifli.
Bersama Kerteh FC, perkembangan dialami Aqil selama setahun dipantau dengan bantuan Head of Youth Development, Adam Sariman sekaligus dapat mengenalpasti kebolehannya.
“Dengan adanya laporan dan data mengenai Aqil, kami mempercayai terhadap potensinya untuk bermain di tahap yang lebih tinggi.” tambah Razeman lagi.
https://twitter.com/manarianz5/status/1620639951196139520?s=20&t=j53QvAbqUxuV8HiVnafMRg
Disamping itu, barisan kejurulatihan turut mengesan bahawa Aqil memiliki kualiti kepimpinan yang semula jadi dengan sentiasa ingin menjadi contoh kepada rakan sepasukan yang lain.
Atas faktor itulah, lilitan kapten diberikan kepada Aqil ketika beraksi bersama skuad Kerteh FC B-16 sepanjang musim lalu.
Sekitar dua minggu lalu, Aqil yang mempunyai kaki kiri yang dominan membuat keputusan melanjutkan karier bola sepaknya dengan berhijrah menyertai Terengganu FC IV yang akan beraksi dalam kancah Piala Belia.
Untuk makluman semua, sebelum berhijrah ke skuad pelapis gergasi pantai timur pada, Aqil telah membantu Kerteh FC B-16 muncul juara Liga Remaja Bawah 16 Tahun anjuran KAL Leagues.
Sebagai rekod, Aqil berhasil meraih 1,065 minit permainan hasil daripada 17 penampilan bersama Kerteh FC sepanjang musim lalu.
Menutup bicaranya, Razeman melihat penghijrahan Aqil ke Terengganu FC IV serta penyenaraian Aqil dalam skuad bawah umur kebangsaan memberi makna dan kesan yang besar kepada semua penggiat Kerteh FC.
“Pasukan negeri memberi ruang dan peluang kepada pemain yang berada diluar sistem dan ini adalah satu penghormatan besar atas usaha kelab yang berjalan beberapa tahun lepas dengan mengikut ‘Roadmap’ kami.”
“Ia juga memberi signal bahawa sistem yang kami gunakan melalui modul yang disediakan oleh Penasihat Teknikal, Oscar Riera dan pelaksanaannya melalui latihan serta tunjuk ajar Ketua Jurulatih Che Ku Marzuki kini mula menunjukkan hasil.”
“Gabungan dua kepakaran diatas memberi motivasi tambahan kepada kami untuk terus berusaha melahirkan seberapa ramai lagi pemain supaya ‘pool of players’ di (negeri) Terengganu khasnya bertambah.” jelasnya.
Featured Image: Kerteh FC