Artikel

Piala MFL Beri Coach Elavarasan Banyak Pilihan Bentuk Skuad Sukan SEA

Saingan sulung Piala MFL yang akan bermula 2 Mac kelak memberikan banyak pilihan buat ketua jurulatih pasukan kebangsaan bawah 23 tahun (B-23), E. Elavarasan untuk membentuk skuad bagi menghadapai temasya Sukan SEA 2023.

Menurut jurulatih berusia 51 tahun terbabit, kehadiran pertandingan baharu yang dikhaskan kepada pemain berusia 23 tahun ke bawah ini  menjadikan situasi sangat berbeza berbanding musim sebelumnya dimana beliau hanya memantau perkembangan pemain tersebut dalam skuad utama yang beraksi di pentas Liga Super atau Liga Premier.

Pada masa yang sama, Elavarasan melihat kancah Piala MFL ini juga akan menjadi platform terbaik kepada pemain-pemain muda untuk memperagakan bakat dan mengekalkan tahap kompetitif masing-masing sepanjang musim.

“Memang satu situasi berbeza kerana sebelum ini saya hanya memantau perkembangan pemain dalam skuad utama dan kali ini kita sudah ada Piala MFL.

“Kejohanan Sukan SEA merupakan tugasan pertama saya bersama pasukan dan sudah tentu, saya mengharapkan mampu mendapatkan pemain yang terbaik.

“Jadi dengan adanya Piala MFL, saya rasa boleh mencungkil pemain-pemain baharu untuk pasukan selain boleh mendapatkan minit permainan yang lebih banyak jika dibandingkan dengan Liga Super.

“Kehadiran pemain-pemain import mungkin boleh dijadikan panduan kepada pemain-pemain muda ini terutama kepada mereka yang masih baharu dengan suasana pertandingan seperti ini,” katanya selepas majlis undian Piala MFL baru-baru ini.

Untuk makluman semua, Elavarasan mempunyai masa sekitar tiga bulan sahaja lagi untuk memantau pemain-pemain B-23 dan membentuk pasukan yang akan beraksi di temasya Sukan SEA 2023.

Temasya itu dijadualkan bermula pada 5 hingga 17 Mei di Kemboja.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen