Geylang International Muncul Kelab Pertama ASEAN Berkolaborasi Dengan Pemilik Man City
February 3, 2023 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di Singapura, Geylang International FC melakar sejarah dengan menjadi kelab pertama di asia tenggara (ASEAN) membentuk kolaborasi dengan pemilik Manchester City (Man City) iaitu City Football Group (CFG).

Skuad berjulukan The Eagles itu mengumumkan pembentukan perjanjian kolaborasi berkenaan menerusi laman sesawangnya, dua hari hari lalu.

Difahamkan perjanjian kolaborasi berkenaan akan menjadi titik permulaan kepada kolaborasi bersasaran tinggi antara kedua-dua entiti yang berpotensi untuk berkembang dengan lebih luas dan kerjasama strategik yang lebih komprehensif pada masa hadapan.

View this post on Instagram

A post shared by Geylang International FC (@gifcsg)

Komitmen yang tidak pernah berlaku sebegini dalam sejarah Geylang International akan membolehkan kelab mula menggunakan kepakaran bola sepak CFG, kepandaian, teknologi, dan amalan terbaik sekaligus membenarkan peningkatan struktur dan operasi kelab.

Untuk pengetahuan semua, Geylang International sudah mendapat manfaat awal hasil hubungannya dengan CFG.

Ini dibuktikan dengan kehadiran penyerang Jepun, Yushi Yamaya yang diumumkan pada minggu lalu sebagai tonggak baharu menjelang saingan Singapore Premier League (SPL) 2023 yang dibantu oleh CFG.

View this post on Instagram

A post shared by Geylang International FC (@gifcsg)

Pemain berusia 22 tahun ini merupakan bekas pelatih akademi Yokohama F. Marinos merangkap salah satu kelab di bawah naungan CFG.

Antara inisiatif yang difikirkan sedalam-dalamnya di dalam kolaborasi ini adalah CFG akan membantu Geylang International membangunkan kepakaran teknikal dan pengurusan melalui pengalaman pembelajaran praktikal di kelab-kelab di bawah jaringan global CFG.

Selain Man City, jaringan kelab-kelab di bawah naungan CFG ialah New York City (Amerika Syarikat), Melbourne City (Australia), Yokohama F. Marinos (Jepun), Montevideo City Torque (Uruguay), Girona FC (Sepanyol), Sichuan Jiuniu (China), Mumbai City FC (India), Lommel SK (Belgium), ESTAC (Perancis), Palermo FC (Itali) dan Club Bolivar (Bolivia).

Komen