Cabaran Antarabangsa Iran: 2 Beregu Campuran Negara Rebut Wang Tunai $1,200
February 4, 2023 Hafizuddin Omar

Gelaran juara bagi kategori beregu campuran di kejohanan Cabaran Antarabangsa Iran Fajr akan direbut oleh dua pasangan negara.

Ini berikutan gandingan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berhasil melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing pada peringkat separuh akhir, petang tadi.

Gandingan Pang Ron-Mei Xing mara setelah menumpaskan wakil Indonesia, Jafar Hidayatullah-Aisyah Salsabila (ranking ke-63) secara “straight set” dengan skor 21-16 dan 21-12.

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei pula turut sama berhadapan dengan wakil Indonesia di peringkat separuh akhir.

Mereka berhasil mengatasi Adnan Maulana-Nito Violina (ranking ke-123) menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 20-22, 21-16 dan 21-9.

Sebagai rekod, kedua-dua pasangan negara ini sudah pernah berentap sebanyak dua kali di kejohanan antarabangsa dan pertemuan seterusnya adalah yang ketiga dalam karier mereka.

Dua pertemuan tersebut berlangsung dalam kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022 dan Terbuka India 2023.

Rekod pertemuan itu seimbang dengan kedua-duanya berjaya meraih satu kemenangan masing-masing.

Untuk makluman semua, pasangan yang muncul juara kejohanan Gred 3 BWF bagi kategori ini akan meraih hadiah wang tunai bernilai AS$1,200 atau bersamaan sekitar RM5,100 dan memungut 4,000 mata.

Manakala naib juara pula akan menerima AS$700 atau bersamaan sekitar RM2,980 serta 3,400 pungutan mata.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen