Perseorangan remaja lelaki negara, Justin Hoh, 18 tahun, akan membuat perhitungan dengan pemain No.8 Indonesia, Syabda Perkasa Belawa, 21 tahun, bagi merebut gelaran juara Cabaran Antarabangsa Iran Fajr 2023.
Terdahulu, Justin berhasil mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Alvi Wijaya Chairullah yang juga merupakan perseorangan lelaki dari Indonesia di peringkat separuh akhir, petang tadi.
Dalam pertarungan tersebut, Justin yang menghuni ranking ke-140 pada ketika ini mencetak kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-14 dan 21-16 dalam tempoh masa sekitar setengah jam permainan.
Sementara itu, Syabda yang merupakan pemain di ranking ke-117 dunia mara setelah menumpaskan rakan senegaranya, Iqbal Diaz Syahputra juga secara “straight set” dengan skor 21-13 dan 21-18.
Untuk makluman, pertembungan di perlawanan akhir pada hari esok akan menjadi yang kedua melibatkan Justin dan Syabda di peringkat kejohanan antarabangsa.
Sebagai rekod, kedua-duanya pernah bertemu sebanyak satu kali sebelum ini dan ianya berlangsung di kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia sekitar tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, pertarungan di peringkat Pusingan 16 kejohanan terbabit memihak kepada Syabda dengan keputusan 21-14, 17-21 dan 17-21.
Sebagai tambahan, juara bagi kategori perseorangan Cabaran Antarabangsa Iran Fajr akan dapat membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai AS$1,300 (±RM5535) serta 4,000 pungutan mata.
Sementara itu, naib juara pula akan menerima AS$650 (±RM2767) serta 3,400 pungutan mata.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia