Gandingan Chen Tang Jie & Toh Ee Wei Rangkul Kejuaraan Kedua
February 5, 2023 Hafizuddin Omar

Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berhasil membutirkan kejuaraan kedua sejak digandingkan bermula awal Disember tahun lalu.

Pemain berusia 25 dan 22 tahun masing-masing ini membutirkan gelaran juara buat kali kedua itu dengan menumpaskan beregu senegara, Hoo Pang Ron dan Teoh Mei Xing dalam perlawanan akhir Cabaran Antarabangsa Iran Fajr, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Tang Jie-Ee Wei melakar kemenangan bergaya menerusi pungutan mata “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-15 dalam tempoh masa 29 minit permainan di Dewan Afrasiabi.

Kemenangan dilakar pada hari ini juga menjadikan Tang Jie-Ee Wei mendahului rekod pertemuan menentang Pang Ron-Mei Xing dengan dua kemenangan daripada tiga pertarungan di pentas antarabangsa.

Sejurus perlawanan terbabit, Tang Jie-Ee Wei menerima hadiah kemenangan berupa wang tunai bernilai AS$1,200, medal, sijil serta sejambak bunga. Selain itu, kemenangan di kejohanan bertaraf Gred 3 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ini membolehkan mereka memungut 4,000 mata.

Sementara itu, Pang Ron-Mei Xing pula mendapat wang tunai bernilai AS$700 dan meraih 3,400 pungutan mata.

Sebagai rekod, kejuaraan pertama dirangkul gandingan Tang Jie-Ee Wei adalah ketika menyertai Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022 yang berlangsung awal Disember lalu.

Featured Image: Instagram Toh Ee Wei

Komen