Luqman Hakim Sertai Njardvik FC – Kelab Divisyen Dua Iceland
February 7, 2023 Hafizuddin Omar

Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin meneruskan karier bola sepaknya bersama sebuah kelab baharu yang berpangkalan di Iceland – sebuah negara kepulauan yang mempunyai populasi tidak lebih daripada 400,000 orang.

Kelab baharu yang disertai oleh pemain berusia 20 tahun kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu beraksi dalam divisyen kedua bola sepak negara terbabit iaitu Njardvik FC.

Perkembangan itu diumumkan secara rasmi oleh Njardvik FC menerusi satu video berdurasi 39 saat yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya serta turut disahkan oleh Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk, Amin Fuad.

Bersama kelab yang berpangkalan di bandar Reykjanesbær terbabit, Luqman diberikan jersi bernombor 30 untuk mengharungi saingan Lengjudeild yang akan bermula pada 11 Februari nanti.

Difahamkan, Luqman menyertai Njardvik FC dengan kontrak pinjaman selama semusim. Sebagai rekod, Luqman menandatangani kontrak selama lima tahun ketika menyertai KV Kortrijk pada 2020 yang lalu.

Featured Image: Njardvik FC

Komen