Saingan Malaysia Primier Futsal League (MPFL) 2023 akan membuka tirainya pada 18 Februari kelak dengan disertai sebanyak 14 buah pasukan.
Perkembangan itu hadir menerusi makluman di pelbagai platform media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pada hari ini.
Saingan musim ini memperlihatkan 14 buah pasukan yang mengambil bahagian dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut zon iaitu Kumpulan A dan B.
Kumpulan A disertai oleh ATM, Kedah, KPT-PST Mustangs, Pahang Rangers, Pulau Pinang, Sabah dan Terengganu.
Sementara itu, baki tujuh pasukan lagi yang terdiri daripada Johor Darul Ta’zim, KL City, Kuala Lumpur, PFA Odin Sarawak, Selangor MAC, Selangor TOT United dan Shah Alam City.
Pertandingan dijalankan secara format liga dua pusingan (home & away) dengan setiap pasukan akan menghadapi 12 perlawanan di peringkat kumpulan.
Empat pasukan terbaik daripada Kumpulan A dan B akan mara ke saingan kalah mati merangkap peringkat suku akhir sebelum ke peringkat separuh akhir dan akhir.
Sejurus tamatnya saingan MPFL, kancah futsal negara akan disusuli dengan saingan Piala Futsal Malaysia (Malaysia Futsal Cup) pada Ogos dan September kelak.
Saingan Piala Futsal Malaysia akan disertai secara automatik oleh tiga pasukan teratas Kumpulan A dan B MPFL serta dua buah pasukan daripada pusingan kelayakan yang melibatkan perebutan antara pasukan di tangga keempat dan kelima MPFL.
Format pertandingan Piala Futsal Malaysia adalah kalah mati secara timbal balik bermula peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir.