Ranking BWF: Tang Jie-Ee Wei Sertai Kelompok 50 Terbaik Dunia Selepas Juarai Saingan Iran
February 7, 2023 Hafizuddin Omar

Kejayaan menjuarai Cabaran Antarabangsa Iran Fajr Ke-31 pada Ahad lalu melonjak kedudukan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ke dalam kelompok 50 pasangan terbaik dunia.

Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini memaparkan gandingan Tang Jie-Ee Wei merekodkan peningkatan sebanyak lapan anak tangga berbanding minggu lalu.

Peningkatan itu sekaligus meletakkan mereka di tangga ke-48 dunia, pada minggu ini.

Sebagai rekod, ketika mula bergandingan pada awal Disember lalu, Tang Jie-Ee Wei bermula dengan tangga ke-272 dunia. Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, pasangan berusia 25 dan 22 tahun masing-masing ini telah berjaya melangkau sebanyak 224 anak tangga.

Sementara itu, sepasang lagi beregu campuran baharu negara, Hoo Pang Ron dan Teoh Mei Xing yang menamatkan saingan yang sama sebagai naib juara turut merekodkan peningkatan ranking yang memberangsangkan.

Kemaskini oleh BWF memperlihatkan Pang Ron-Mei Xing meraih peningkatan sebanyak sepuluh anak tangga sekaligus menghuni kedudukan ke-65 dunia pada minggu ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen