Gandingan Wan Arif Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri yang terkenal dengan julukan ‘Patatimo Boys’ dek berasal dari negeri Terengganu dan Kelantan masing-masing tamat pada hari ini.
Gandingan yang terdiri daripada pemain berusia 20 tahun masing-masing ini pernah menghuni rangking tertinggi iaitu tangga ke-38 dunia serta merangkul tiga kejuaraan sepanjang tahun 2021.
Bahkan Arif-Haikal hampir meraih kejuaraan sulung dalam siri kejohanan Jelajah BWF setelah mara ke perlawanan akhir Orleans Masters 2022. Akan tetapi, mereka terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara kerana terpaksa menarik diri selepas Haikal didapati positif Covid-19.
Bagaimanapun, barisan kejurulatihan terpaksa membuat keputusan untuk memisahkan gandingan ini bagi membentuk gandingan-gandingan baharu kalangan pemain beregu lelaki di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pengarah Kejurulatihan (Beregu), Rexy Mainaky mengumumkan sebahagian barisan gandingan beregu lelaki baharu di bawah naungan BAM yang terdiri daripada Nur Izzuddin-Haikal Nazri, Arif Junadi-Yap Roy King dan Goh Sze Fei-Choong Hon Jian.
Untuk makluman, barisan kejurulatihan terpaksa memformulakan gandingan baharu dalam kem beregu lelaki susulan daripada pasangan lelaki No.3 tanah air, Nur Izzuddin dan Goh Sze Fei membuat keputusan untuk berpisah dan membawa haluang masing-masing, baru-baru ini.
Sebagai tambahan, Arif dan Haikal mula digandingkan pada tahun 2019 manakala Izzuddin dan Sze Fei pula mula dipasangkan pada tahun 2016.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia