Artikel

Korea Bakal Beri AS$1 Juta Kepada Atlet Vietnam Rangkul Pingat Emas Olimpik 2024

Mana-mana atlet Vietnam yang merangkul pingat emas di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 akan mendapat ganjaran berupa wang tunai sebanyak AS$1 juta (±RM4.3 juta).

Manakala atlet yang membawa pulang pingat perak dan gangsa pula akan menerusi wang tunai berjumlah AS$500,000 dan AS$200,000 masing-masing.

Ganjaran ini hasil daripada perjanjian yang ditandatangani oleh Jawatankuasa Olimpik Vietnam (VOC) dan rakan strategik kepada International Sports Founding & Support Association (ISF) di Republik Korea.

Menurut laporan VnExpress International, di bawah perjanjian antara VOC dan ISF, para atlet serta pasukan-pasukan Vietnam akan ke Korea untuk berlatih serta sebaliknya, dan kedua-dua pihak akan bertukar kepakaran dan kejurulatihan.

Selain itu, ISF turut bercadang untuk membantu Vietnam membangunkan sukan-sukan di Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Difahamkan, seramai 100 atlet Vietnam akan menjalani latihan di Korea dengan memfokuskan sukan angkat berat, menembak, ping-pong dan sukan luncur (acara Sukan Olimpik Musim Sejuk).

Selain ganjaran daripada Korea, Setiausaha Agung VOC, Tran Van Manh memaklumkan atlet juga akan mendapat tambahan bonus daripada pihak kerajaan serta penaja-penaja lain yang akan mereka usahakan.

Sebagai perbandingan, Vietnam mengumumkan bonus sebanyak AS$80,000 (±RM343,880), AS$51,000 (±RM219,223) dan AS$27,300 (±RM117,349) kepada pemenang pingat emas, perak dan gangsa masing-masing pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebagai rekod, Vietnam berhasil membutirkan pingat emas Sukan Olimpik buat julung kalinya menerusi penembak, Hoang Xuan Vinh pada edisi Rio, Brazil pada tahun 2016. Selain itu, Hoang turut membawa pulang sebutir lagi pingat iaitu perak.

Hasil daripada kejayaan itu, Hoang menerima AS$7,675 (±RM33,000) daripada kerajaannya selain bonus daripada pihak lain yang berjumlah sekitar AS$213,200 (±RM916,440).

komen