Gelanggang badminton yang digunakan oleh para pemain kebangsaan seperti Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan dan ramai lagi di PETRONAS Akademi Badminton Malaysia (ABM) kini boleh ditempah dan digunakan oleh orang ramai.
Tempahan tersebut boleh dibuat menerusi aplikasi web berpangkalan di Malaysia iaitu Courtsite. Ianya hasil daripada kerjasama mereka bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak Januari tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Courtsite, Eugene Low ketika ditemui Sukanz berkata perkara ini diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai serta para peminat badminton peluang, pengalaman dan suasana bermain di atas gelanggang yang sama digunakan oleh pemain handalan negara.
Selain itu, ia juga membuka ruang untuk mengkomersilkan gelanggang-gelanggang di ABM di luar waktu latihan para pemain negara sekaligus memberikan pendapatan tambahan.
Untuk makluman semua, hari dan waktu yang dibolehkan untuk menempah gelanggang-gelanggang di ABM adalah seperti berikut:
- Isnin-Jumaat: 7 malam – 12 tengah malam
- Sabtu: 4 petang – 11.30 malam
- Ahad: 12 tengah hari – 10 malam
Sementara itu, kadar sewaan yang ditetapkan menerusi tempahan di Courtsite adalah seperti berikut:
- Isnin-Jumaat: RM50 per jam
- Sabtu-Ahad: RM40 per jam
- Sabtu-Ahad: RM35 per jam dengan kad pelajar yang sah
Sebagai tambahan, ABM mempunyai 18 gelanggang badminton untuk ditempah serta dilengkapi dengan kemudahan ruangan parkir kenderaan dan bilik mandi.