Negeri Sembilan Ambil Khidmat Penyerang Chad – Usia 34 Tahun
February 8, 2023 Hafizuddin Omar

Pasukan yang menamatkan kempen Liga Super di tangga keempat pada musim lalu, Negeri Sembilan FC mengumumkan kehadiran pemain import baharu iaitu penyerang skuad kebangsaan Chad.

Pemain yang dimaksudkan itu ialah Ezechiel N’douassel yang bakal menjengah usia 35 tahun sekitar dua bulan lagi.

Perkembangan ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan, Satwant Singh dalam satu kenyataan rasmi.

Pemain yang mempunyai ketinggian 1.86 meter (m) ini bukan sahaja mampu beraksi sebagai penyerang bahkan turut berkebolehan bermain sebagai sayap kiri.

Untuk makluman semua, karier Ezechiel bertumpu di Liga Indonesia sepanjang enam musim lalu dengan beraksi bersama Persib Bandung dan Bhayangkara FC.

Sepanjang tempoh itu, Ezechiel mempunyai rekod jaringan sebanyak 53 gol hasil daripada 95 penampilan dalam kesemua pertandingan.

Pada masa yang sama, Satwant turut mengesahkan memgekalkan khidmat pertahanan import tinggi lampai musim lalu, Herold Goulon bersama skuad Hoben Jang Hoben pada musim ini.

Selain itu, beliau turut memaklumkan pihak kelab sedang dalam perbincangan dengan seorang lagi individu yang dipercayai merupakan seorang pemain tengah yang berkemungkinan besar bakal menjadi pemain import ketiga buat Negeri Sembilan.

Satwant memaklumkan Negeri Sembilan bimbingan K. Devan akan menggunakan tiga pemain import sahaja bagi mengharungi saingan Liga Malaysia yang akan bermula penghujung Februari nanti.

Featured Image: Liga 1 Indonesia / Liga Indonesia Baru

Komen