Jawatankuasa penganjur melancarkan piktogram bagi Sukan Olimpik Paris 2024 secara rasmi kira-kira 534 hari sebelum bermulanya temasya terbabit.
Sejumlah 62 rekaan piktogram didedahkan mewakili 28 jenis sukan yang akan dipertandingkan di ibu negara Perancis bermula 26 Julai, pada tahun hadapan.
Difahamkan, rekaan piktogram Sukan Olimpik edisi ini merangkumkan keanggunan Perancis, rekaan estetik baharu yang menonjol dan simbol yang didapati di laluan pejalan kaki di Perancis.
Seiringan dengan ini, pihak penganjur turut sama melancarkan dan mendedahkan piktogram bagi Paralimpik Paris 2024.
Piktogram itu menampilkan 23 rekaan yang khusus kepada acara sukan yang dipertandingkan pada Paralimpik.
Sebagai rekod, piktogram di temasya Sukan Olimpik ditampilkan buat pertama kali pada edisi 1964 yang berlangsung di Tokyo. Sejak itu, pembikinan piktogram bagi setiap jenis sukan yang dipertandingkan diteruskan sehingga ke edisi kali ini.