Artikel

Stadium Negeri Pulau Pinang Dalam Pertimbangan FAM Untuk Aksi Harimau Malaya

Stadium Negeri Pulau Pinang yang mempunyai kapasiti sekitar 40,000 tempat duduk menjadi salah satu venue yang sedang dipertimbangkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk aksi skuad Harimau Malaya.

Selain itu, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), Gong Badak serta Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri turut sama menyertai senarai pilihan venue yang sedang dalam pertimbangan badan induk bola sepak negara terbabit.

“Berkemungkinan besar (main di SSI) tetapi (SMAZA) Terengganu juga dalam kita punya radar serta (Stadium Negeri Pulau Pinang) Batu Kawan, Pulau Pinang,” kongsi Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj. Rahman ketika ditemui di Wisma FAM pada hari ini.

Untuk makluman semua, stadium-stadium terbabit menjadi alternatif ‘home’ buat skuad kebangsaan memandangkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak dapat digunakan bermula Mac kelak.

Ini kerana SNBJ akan ditutup buat sementara waktu bagi memulakan kerja-kerja penyelenggaraan serta penukaran rumput daripada jenis ‘cowgrass’ kepada jenis ‘zeon zoysi’ sepertimana digunakan di gelanggang milik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu SSI.

Difahamkan, bagi kos penukaran rumput, ianya akan ditaja oleh pemilik JDT merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sepertimana diumumkan baginda menerusi platform media sosial JOHOR Southern Tigers, pada tahun lalu.

komen